Terus ke kandungan
RumahHQ
BM EN

Skim Zero Deposit: Tanah Anda Adalah Deposit Anda

Tak perlu kumpul puluhan ribu ringgit tunai untuk bermula. Tanah yang anda sudah miliki bertindak sebagai ekuiti, jadi anda boleh bina tanpa deposit tunai kepada kontraktor. Kami juga nyatakan dengan jujur apa yang anda masih perlu bayar — supaya tiada kejutan kemudian.

Deposit tunai kepada kami
RM0
Kadar LPPSA
4.00% tetap
Margin bank
sehingga 90%

Bagaimana ia sebenarnya berfungsi

Bila anda membeli rumah daripada pemaju, anda perlu deposit kerana anda tidak memiliki apa-apa dalam urus niaga itu — bank membiayai 90% dan anda menampung 10%.

Bina atas tanah sendiri berbeza secara asas. Anda sudah memiliki tanah, dan tanah itu mempunyai nilai. Pembiaya menilai hartanah siap (tanah campur rumah), kemudian membiayai sehingga margin yang dibenarkan. Kerana nilai tanah anda sudah berada dalam persamaan itu, bahagian yang perlu anda “tampung” selalunya sudah tertampung — tanpa sesen tunai baharu.

Contoh mudah

Tanah anda dinilai RM150,000. Kos binaan RM400,000. Nilai hartanah siap dianggarkan RM550,000. Pada margin 90%, bank boleh membiayai sehingga RM495,000 — iaitu lebih daripada kos binaan RM400,000. Baki 10% dianggap tertampung oleh ekuiti tanah anda, jadi tiada deposit tunai diperlukan untuk memulakan binaan.

Angka ini ilustrasi. Penilaian sebenar dibuat oleh penilai berdaftar, dan margin ditentukan oleh pembiaya.

Bagi penjawat awam, LPPSA memudahkan lagi: ia membiayai kos binaan sehingga had RM1,000,000 pada kadar tetap 4.00%, dan pengeluaran dibuat mengikut tuntutan kemajuan terus kepada kontraktor.

Apa yang anda masih perlu bayar

Ini bahagian yang biasanya tidak disebut dalam iklan “zero deposit”. Tiada satu pun daripadanya dibayar kepada kami — ia kos pihak ketiga — tetapi ia wang sebenar dan anda patut merancangnya.

Bayaran guaman & duti setem
Dokumen pembiayaan dan gadaian melibatkan kos guaman dan duti setem. Sebahagian bank menawarkan pakej menyerap kos ini; tanya secara khusus.
Penilaian hartanah
Bank perlukan laporan penilai berdaftar. LPPSA mempunyai proses penilaiannya sendiri.
Cukai tanah tertunggak
Tunggakan cukai tanah mesti diselesaikan sebelum penghantaran ke PBT dan sebelum pembiayaan diluluskan.
Insurans
Insurans kebakaran dan biasanya insurans pengurangan gadaian (MRTA/MRTT) atau takaful setara.
Item di luar skop
Pagar, landskap, penghawa dingin dan perabot tidak termasuk dalam pembiayaan binaan, jadi ia datang dari poket anda selepas serahan.

Jumlah kasar untuk kos guaman, duti setem, penilaian dan insurans biasanya beberapa ribu ringgit, bukan puluhan ribu. Kami tidak memberi angka tepat di sini kerana ia bergantung kepada jumlah pembiayaan, pakej bank dan firma guaman — tetapi kami akan beritahu anggaran sebenar semasa quotation, sebelum anda komit.

Muka depan panduan RumahHQ, Panduan Mudah: Pembiayaan LPPSA Untuk Penjawat Awam

Panduan percuma

Panduan Mudah: Pembiayaan LPPSA Untuk Penjawat Awam

Buku 36 muka surat oleh pasukan kami: tujuh jenis pembiayaan LPPSA, siapa layak, dokumen, perlindungan takaful dan yuran guaman, dalam bahasa mudah.

Download panduan (PDF, 5.3 MB)

Ditulis November 2025, buku ini menyebut had lama RM750,000. LPPSA kini mengumumkan had RM1,000,000.

Pembiayaan melalui panel kami

Golden Sharp Innovation (IP0580950-X) adalah kontraktor panel berdaftar dengan institusi di atas. Status panel bermakna kelayakan kami sebagai kontraktor telah dinilai, dan dokumen tuntutan kemajuan kami mengikut format yang institusi jangkakan — ia bukan jaminan kelulusan pembiayaan anda, dan bukan pengesahan produk kami oleh institusi tersebut. Kelulusan dan terma ditentukan sepenuhnya oleh LPPSA atau bank berkenaan. Logo dan tanda dagangan adalah hak milik pemilik masing-masing.

Siapa yang layak

  • Tanah atas nama anda. Hakmilik individu atau bersama, bukan pusaka yang belum dibahagikan.
  • Kategori dan syarat tanah membenarkan kediaman. Tanah pertanian perlu tukar syarat dulu.
  • Pendapatan mencukupi untuk ansuran. Tiada deposit tidak bermakna tiada semakan pendapatan — DSR dan had ansuran tetap terpakai.
  • Rekod kredit yang bersih. CCRIS dan CTOS disemak. Tunggakan aktif adalah punca penolakan yang paling biasa.
  • Akses jalan berdaftar ke tapak. Tanpa ini, pelan tidak diluluskan.

Dua daripada lima ini boleh anda semak sendiri sekarang: kesediaan tanah dan kelayakan pembiayaan.

Soalan lazim

Jadi “zero deposit” itu benar atau tidak?
Benar, dalam erti anda tidak membayar deposit tunai kepada kontraktor untuk memulakan binaan. Ia tidak benar jika difahami sebagai “tiada kos sama sekali”. Mekanismenya: tanah yang anda sudah miliki bertindak sebagai ekuiti, jadi margin pembiayaan yang diperlukan dipenuhi tanpa wang tunai tambahan. Senarai di halaman ini menyatakan apa yang anda masih perlu sediakan.
Berapa nilai tanah yang diperlukan?
Bergantung kepada margin. Jika bank membiayai 90% daripada nilai hartanah siap (tanah + rumah), baki 10% perlu ditampung — dan nilai tanah anda biasanya melebihi jumlah itu. Pada margin yang lebih berhati-hati 80%, anda perlukan nilai tanah yang lebih tinggi. Semak kelayakan anda untuk melihat angka sebenar.
Adakah LPPSA juga menawarkan ini?
Ya, dan bagi penjawat awam ia biasanya lebih mudah. LPPSA membiayai kos binaan sepenuhnya sehingga had RM1,000,000 pada kadar tetap 4.00%, dan pengeluaran dibuat mengikut tuntutan kemajuan terus kepada kontraktor. Anda tidak mengeluarkan tunai pada setiap peringkat.
Bolehkah saya guna tanah keluarga yang bukan atas nama saya?
Tidak, bukan tanpa pindah milik. Tanah adalah cagaran, jadi nama pada geran mesti nama pemohon. Jika tanah itu milik ibu bapa, pindah milik atau hibah perlu diselesaikan dulu. Semak status tanah anda.
Apa risiko sebenar skim ini?
Membiayai 100% kos binaan bermakna ansuran bulanan yang lebih tinggi dan tiada penampan ekuiti pada peringkat awal. Jika nilai hartanah tidak naik seperti dijangka, anda mengambil masa lebih lama untuk mempunyai ekuiti positif. Ia pilihan yang wajar untuk rumah yang anda akan duduki jangka panjang, dan kurang wajar jika anda merancang menjual dalam beberapa tahun.

Semak sama ada ia berfungsi untuk anda

Beritahu kami lokasi dan keluasan tanah anda, dan anggaran pendapatan. Kami kira sama ada skim ini benar-benar menampung binaan yang anda mahukan — dan beritahu anda jika tidak.

WhatsApp Quotation Percuma