Terus ke kandungan
RumahHQ
BM EN

Soalan Lazim Bina Rumah Atas Tanah Sendiri

65 soalan yang paling kerap ditanya oleh keluarga seperti anda, dijawab secara terus-terang. Jika jawapannya perlukan lebih ruang, kami pautkan ke panduan penuh.

Soalan
65
Kategori
9

Kos & harga

Berapa kos bina rumah atas tanah sendiri?
Kadar kami RM200 hingga RM250 per kaki persegi, bergantung kepada pakej kemasan, design dan spesifikasi rumah. Tambah RM45,000 untuk kelulusan PBT sehingga CCC dan RM5,500 untuk meter kekal jika anda perlukannya. Kalkulator kos menunjukkan angka penuh dan formulanya.
Adakah anggaran itu termasuk harga tanah?
Tidak. Semua angka di laman ini adalah kos pembinaan di atas tanah yang anda sudah miliki. Kami tidak menjual tanah.
Apa yang tidak termasuk?
Harga tanah, kerja tanah luar biasa, pagar dan pintu gerbang, landskap penuh, unit penghawa dingin (kami sediakan paip dan titik), perabot, langsir dan lampu hiasan. Semua ini disenaraikan dalam quotation rasmi. Lihat senarai penuh pengecualian.
Selain harga kontrak, kos apa lagi yang perlu saya sediakan?
Kos pihak ketiga: duti setem atas dokumen pinjaman (0.5% daripada jumlah pinjaman), yuran guaman dokumen pembiayaan, yuran penilaian, insurans kebakaran dan biasanya MRTA/MRTT. Dengan pinjaman bank, faedah atas jumlah yang sudah dikeluarkan juga dibayar semasa rumah dibina. LPPSA boleh membiayai yuran guaman dokumen pembiayaan dan perlindungan MRTT/MRTA, tetapi tidak membiayai duti setem, akuan berkanun atau kaveat. Contoh kos pihak ketiga yang dikira.
Adakah saya perlu bayar untuk lukisan atau quotation?
Tidak, tiada bayaran pada mana-mana peringkat sebelum anda melantik kami. Pelan, pandangan 3D dan quotation penuh diberikan percuma, tanpa pendaftaran dan tanpa ikatan.
Mengapa design yang lebih besar kadangkala lebih murah?
Kerana setiap anggaran dalam katalog kami dikira daripada lukisan design itu sendiri. Bentuk bumbung, bilangan sudut, panjang dinding luar dan kerumitan struktur memberi kesan lebih besar daripada keluasan lantai semata-mata. Kami menerangkannya di halaman katalog dan tidak menyembunyikannya.
Bolehkah harga naik selepas kontrak?
Harga kontrak tetap untuk skop yang dikontrak. Yang boleh menambah kos adalah perubahan skop yang anda putuskan (variation order) dan keadaan tanah yang tidak dijangka yang hanya kelihatan selepas korekan bermula. Kedua-duanya dipersetujui secara bertulis sebelum kerja dilakukan.

Pembiayaan

Berapa yang saya layak pinjam?
Alat semak kelayakan kami memberi anggaran dalam satu minit, dan memberitahu anda peraturan mana yang menghadkan anda — dan itulah satu-satunya bahagian yang boleh anda ubah. Ia anggaran, bukan kelulusan: LPPSA mengira had jumlah hutang 80% atas pendapatan bersih (gaji pokok dan elaun tetap yang diambil kira, tolak potongan wajib seperti KWSP, PERKESO dan cukai pendapatan), dan setiap bank membuat penilaian sendiri.
LPPSA atau bank, mana lebih baik?
Untuk kebanyakan penjawat awam, LPPSA: kadar 4.00% tetap sepanjang tempoh dan potongan gaji automatik adalah terma yang tiada bank tandingi. Had baharu yang diumumkan LPPSA (permohonan dijangka dibuka suku keempat 2026) mengenakan 4% atas RM750,000 pertama dan 4.5% atas baki sehingga RM1,000,000. Perbandingan penuh di sini, dengan pengiraan sebenar.
Adakah cara pembiayaan mengubah harga anda?
Tidak. Kadar per kaki persegi kami sama untuk LPPSA, CIMB, Maybank, KWSP dan tunai. Kami pernah mengenakan caj dokumentasi tambahan untuk laluan tertentu; caj itu sudah dibuang sepenuhnya.
Bolehkah saya bina tanpa deposit?
Ya, dalam erti kata anda tidak membayar deposit tunai kepada kontraktor untuk mula membina. Tetapi sama ada nilai tanah anda menampung margin bergantung kepada asas yang bank guna: satu produk bina rumah yang diterbitkan membiayai sehingga 90% daripada nilai pasaran atau kos binaan, mana yang lebih rendah, dan dengan asas itu nilai tanah tidak mengurangkan bahagian yang anda tanggung. LPPSA pula meluluskan angka terendah antara empat, dan jika angka itu kurang daripada harga kontrak, anda bayar bezanya dulu. Penjelasan penuh, termasuk apa yang anda masih perlu bayar.
Perlukah saya bayar ansuran semasa rumah masih dibina?
Dengan pinjaman bank, biasanya ya: bank mengenakan faedah atas jumlah yang sudah dikeluarkan setakat itu, jadi bayaran bulanan naik mengikut kemajuan binaan. Dengan LPPSA, bayaran balik pembiayaan bina rumah (Jenis 2) bermula pada bulan selepas bayaran kemajuan 95% dikeluarkan, atau pada bulan ke-25 dari tarikh kelulusan, mana yang lebih awal. Jika anda masih menyewa, rancang untuk sewa dan ansuran serentak. Jadual bayaran dan siapa membayar setiap peringkat.
Bolehkah saya guna KWSP untuk bina rumah?
Boleh, melalui Pengeluaran Bina Rumah daripada Akaun Sejahtera (dulu Akaun 2), jika anda berumur bawah 55 tahun dan tanah itu milik anda atau pasangan. Jumlahnya ialah kos binaan tolak pinjaman yang diluluskan, campur 10% kos binaan, atau seluruh baki Akaun Sejahtera, mana yang lebih rendah. KWSP meminta Perjanjian Bina Rumah dan surat kelulusan PBT atau pelan yang diluluskan, dan wang dikreditkan ke akaun bank anda sendiri, bukan kepada kontraktor. Syarat, dokumen dan contoh pengiraan.
Bolehkah KWSP digunakan untuk ubah suai rumah?
Tidak. KWSP menyatakan simpanan tidak boleh dikeluarkan untuk ubah suai, dan pengeluaran untuk mengurangkan baki pinjaman tidak meliputi pinjaman ubah suai. Untuk rumah yang dibiayai atau diselesaikan melalui LPPSA, ada pembiayaan ubah suai Jenis 7 dengan syaratnya sendiri. Pilihan untuk membiayai ubah suai.
Adakah insentif rumah pertama terpakai bila bina atas tanah sendiri?
Biasanya tidak. Pengecualian duti setem rumah pertama ditulis untuk pembelian melalui perjanjian jual beli, dan pelepasan cukai pendapatan atas faedah pinjaman rumah pertama diikat kepada perjanjian jual beli yang ditandatangani dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027. Kontrak membina atas tanah yang anda sudah miliki bukan perjanjian jual beli, jadi jangan masukkan kedua-duanya dalam bajet; tanya peguam anda tentang dokumen anda sendiri. Kos yang masih perlu dirancang.
Apa maksud status kontraktor panel?
Kelayakan kami sebagai kontraktor telah dinilai oleh LPPSA, CIMB dan Maybank, dan dokumen tuntutan kemajuan kami mengikut format yang mereka jangkakan. Ia bukan jaminan kelulusan pembiayaan anda, dan kami tidak pernah membentangkannya sebagai jaminan.
Apa yang menyebabkan permohonan pembiayaan tidak diluluskan?
Tiga punca utama: komitmen bulanan yang menjadikan DSR terlalu tinggi (siling kira-kira 60–70%), rekod CCRIS atau CTOS yang bermasalah, dan dokumen tidak lengkap. Kesemuanya boleh diperiksa sebelum memohon.

LPPSA

Bagaimana LPPSA menentukan jumlah yang diluluskan?
LPPSA meluluskan angka terendah antara empat: harga hartanah (untuk bina rumah, harga dalam perjanjian pembinaan), nilaian JPPH, jumlah yang dimohon, dan kelayakan maksimum anda. Ansuran dihadkan kepada 60% gaji pokok dan elaun tetap, jumlah hutang kepada 80% pendapatan bersih, dan gaji bersih perlu kekal sekurang-kurangnya 20% pendapatan kasar. Jika angka yang diluluskan kurang daripada harga kontrak, beza itu (wang beza) perlu dijelaskan dulu sebelum LPPSA mengeluarkan apa-apa. Panduan LPPSA penuh.
Adakah LPPSA membiayai kos pelan dan penyediaan tapak?
Tidak. Garis panduan LPPSA 2026 menyatakan pembiayaan Jenis 2 meliputi kos binaan dalam Jadual Bayaran perjanjian pembinaan; kos penyediaan pelan dan penyediaan tapak tidak dibiayai. Rumah juga mesti dibina mengikut pelan yang diluluskan PBT atau Pejabat Daerah dan masih berkuat kuasa. Dalam anggaran kami, kelulusan PBT hingga CCC ialah baris berasingan RM45,000, jadi rancang sumbernya awal. Proses dan kos kelulusan.
Bolehkah suami isteri memohon LPPSA bersama untuk bina rumah?
Boleh jika kedua-duanya penjawat awam yang menggunakan LPPSA (Pembiayaan Bersama 1): semua jenis pembiayaan dibenarkan untuk gabungan itu. Jika pasangan bekerja di sektor swasta dan menggunakan bank (Pembiayaan Bersama 2), LPPSA hanya membenarkannya untuk membeli rumah siap atau rumah dalam pembinaan (Jenis 1 dan 3), bukan untuk membina di atas tanah sendiri. Pemohon bersama mesti suami isteri, atau ibu bapa dan anak kandung, dan untuk Jenis 2 tanah perlu dimiliki pemohon sepenuhnya atau bersama dalam hubungan yang sama. Cara LPPSA dan bank boleh digabungkan.
Saya belum disahkan dalam jawatan, atau berkhidmat secara kontrak. Boleh guna LPPSA?
LPPSA mewajibkan salinan surat pengesahan jawatan bersama permohonan, jadi tunggu sehingga anda disahkan. Skim ini untuk penjawat awam tetap; kakitangan kontrak perlu melihat pinjaman bank. Permohonan juga mesti diterima LPPSA sebelum tarikh bersara atau tamat perkhidmatan. Anggarkan kelayakan LPPSA dan bank.
Saya beli tanah dengan pembiayaan LPPSA. Bolehkah saya bina rumah dengan LPPSA juga?
Boleh, melalui Jenis 6, selepas Arahan Potongan Gaji untuk pembiayaan tanah sudah dilaksanakan dan tiada tunggakan bayaran balik; hakmilik individu mesti atas nama anda dan dicagar kepada LPPSA. LPPSA tidak membenarkan permohonan beli tanah dan bina rumah serentak: tanah dulu, kemudian rumah. Jika tanah dibiayai di bawah SPPSA (konvensional), pembiayaan bina rumahnya tidak boleh dibuat di bawah SPPSAi (Islamik). Jenis-jenis pembiayaan LPPSA.
Tanah saya masih bercagar kepada bank. Boleh bina dengan LPPSA?
Tidak terus. Pembiayaan Jenis 2 memerlukan tanah hakmilik individu yang bebas daripada sebarang bebanan. Jika pinjaman bank itu diambil untuk membeli tanah atau membina rumah, Jenis 5 boleh menyelesaikannya dulu, tertakluk kepada syarat: untuk pinjaman beli tanah, baki yang diambil alih tidak boleh melebihi separuh daripada kelayakan anda atau nilaian JPPH, mana yang lebih rendah, dan lebihannya anda jelaskan kepada bank dulu. Bila Jenis 5 sesuai.
Bolehkah saya bina dua rumah di atas satu lot dengan LPPSA, contohnya untuk anak?
Tidak dengan LPPSA. Pembiayaan bina rumah hanya dibenarkan untuk mendirikan sebuah rumah di atas satu lot tanah, jadi pembiayaan pertama dan kedua tidak boleh digunakan untuk lot yang sama. Pembiayaan kedua pula hanya boleh selepas pembiayaan pertama selesai sepenuhnya, dengan ansuran tidak melebihi 50% gaji. Syarat pembiayaan LPPSA.
Apa berlaku kepada pembiayaan LPPSA jika saya meninggal dunia atau hilang upaya?
Perlindungan gadai janji (MRTT/MRTA, atau takaful untuk SPPSAi) wajib, dan sejak 1 Januari 2018 ia meliputi kematian, hilang upaya kekal dan menyeluruh, dan penyakit kritikal. Waris atau ketua jabatan memaklumkan LPPSA dengan borang pemberitahuan; panel insurans atau takaful membayar LPPSA mengikut jadual baki yang berkurangan, dan lebihan dipulangkan kepada waris. Baki boleh tinggal jika ada tunggakan ansuran, polisi sudah tamat, atau punca itu dikecualikan dalam polisi, jadi jangan biarkan ansuran tertunggak. Insurans dan takaful LPPSA.

Tanah & kelulusan

Perlukah saya ada tanah dulu?
Ya. Tanah itulah cagaran pembiayaan bina rumah, jadi hakmilik perlu atas nama pemohon. LPPSA menerima pemilikan penuh oleh pemohon, atau pemilikan bersama suami isteri atau ibu bapa dan anak, dan tanah mesti bebas daripada sebarang bebanan. Semak kesediaan tanah anda jika anda belum pasti status geran anda.
Tanah saya pertanian. Boleh bina rumah?
Mungkin, walaupun tanpa tukar syarat. Kanun Tanah Negara seksyen 115(4)(a) membenarkan rumah kediaman untuk pemilik, atau orang yang menduduki tanah itu secara sah, di atas tanah pertanian, asalkan ia tidak melebihi satu perlima keluasan lot atau 2 hektar, mana yang lebih kecil, dan syarat nyata geran tidak menyatakan sebaliknya. PBT tetap perlu meluluskan pelan, dan pembiaya membuat penilaian sendiri atas hakmilik, jadi semak dengan kedua-duanya dulu. Jika tukar syarat diperlukan, ia dimohon di bawah seksyen 124 dengan premium yang ditetapkan Pihak Berkuasa Negeri. Butiran penuh di sini.
Tanah pusaka belum dibahagikan. Boleh saya bina?
Secara fizikal boleh, tetapi anda tidak akan mendapat pembiayaan kerana tanah itu belum boleh dicagarkan sehingga pembahagian selesai. Ini punca kelewatan paling biasa yang kami lihat. Jika nilai keseluruhan harta si mati tidak melebihi RM5 juta, mohon pembahagian pusaka kecil di Pejabat Pembahagian Pusaka JKPTG melalui MyLAND; JKPTG menyatakan 4 hingga 6 bulan dari tarikh permohonan, lebih lama di pejabat yang banyak kes. Langkah-langkahnya.
Tanah masih atas nama ibu bapa. Apa pilihan saya?
Untuk kelulusan PBT, pemohon yang bukan pemilik berdaftar perlu menunjukkan haknya untuk membina, contohnya surat kuasa wakil atau perjanjian dengan pemilik. Untuk pembiayaan, LPPSA Jenis 2 memerlukan pemohon sebagai pemilik atau pemilik bersama (suami isteri, atau ibu bapa dan anak), dan pengeluaran KWSP memerlukan tanah milik anda atau pasangan. Cara paling bersih biasanya pindah milik dulu: pindah milik atas dasar kasih sayang antara ibu bapa dan anak dikecualikan duti setem atas RM1,000,000 pertama nilai hartanah sejak 1 April 2023. Guna tanah keluarga untuk membina.
Bagaimana saya semak status sebenar tanah saya?
Beli carian rasmi: di Pejabat Tanah Daerah untuk hakmilik HSM, GM atau PM, dan di Pejabat Tanah dan Galian negeri (PTG) untuk hakmilik HSD, GRN atau PN. Carian menunjukkan pemilik berdaftar, kategori dan syarat, sekatan kepentingan, gadaian dan kaveat. Di Selangor fi carian rasmi ialah RM50 dan ia boleh dibuat dalam talian melalui e-Tanah. Cara membaca geran dan carian.
Tanah saya Rizab Melayu. Adakah ini menjejaskan pembiayaan?
Ia menghadkan siapa yang boleh memegang gadaian. Di Selangor, tanah Rizab Melayu hanya boleh digadaikan kepada badan yang disenaraikan dalam Jadual Kedua Enakmen Rizab Melayu, jadi tanya pembiaya anda sama ada ia termasuk dalam senarai itu sebelum memohon. Enakmen yang sama melarang pindah milik, gadaian atau pajakan kepada bukan Melayu. Sekatan hakmilik lain yang perlu disemak.
Perlukah kelulusan PBT?
Ya. Rumah tanpa kelulusan pelan dan sijil CCC tidak boleh diduduki secara sah, tidak boleh disambung utiliti secara kekal, dan sukar dijual atau dicagarkan. Di luar kawasan PBT, LPPSA menerima pelan yang diluluskan Pejabat Daerah. Proses penuh, langkah demi langkah.
Berapa lama kelulusan PBT mengambil masa?
Tiga hingga empat bulan adalah realistik di Selangor, Kuala Lumpur & Negeri Sembilan, dan lebih panjang jika satu jabatan meminta pindaan. Ia berada di laluan kritikal projek anda kerana pembiaya perlukan pelan lulus sebelum pengeluaran. Sebagai rujukan, piagam MBPJ untuk pelan bangunan baharu ialah 37 hari bekerja selepas permohonan lengkap, bergantung kepada tarikh mesyuarat Jawatankuasa OSC; itu belum termasuk masa menyediakan lukisan.
Apa itu CCC dan Borang G?
CCC ialah Sijil Siap dan Pematuhan, dikeluarkan oleh profesional yang menghantar pelan: arkitek, jurutera atau pelukis pelan bangunan berdaftar. Borang G1 hingga G21 ialah perakuan peringkat yang ditandatangani semasa pembinaan; CCC tidak boleh dikeluarkan sebelum semuanya lengkap. Penjelasan penuh.

Peraturan pembinaan

Bolehkah pelukis pelan menghantar pelan rumah saya, bukan arkitek?
Ya, dalam had. Akta Arkitek 1967 seksyen 24(5) membenarkan pelukis pelan bangunan berdaftar menghantar pelan bangunan tidak melebihi dua tingkat dengan jumlah keluasan lantai binaan tidak melebihi 300 meter persegi. Di atas had itu anda perlukan Arkitek Profesional. Pelan struktur tetap ditandatangani jurutera berdaftar. Siapa boleh menghantar pelan.
Bolehkah kerja bermula sebaik saja pelan dihantar ke PBT?
Tidak. MBPJ menyatakan kerja hanya boleh bermula selepas pelan diluluskan dan Borang B (notis mula kerja) dikemukakan. Membina tanpa kebenaran bertulis melanggar seksyen 70 Akta 133, dengan denda sehingga RM50,000, penjara sehingga 3 tahun, dan binaan boleh diarah dirobohkan. Urutan kelulusan yang betul.
Bolehkah kami pindah masuk sementara menunggu CCC?
Tidak. Menduduki bangunan tanpa CCC ialah kesalahan di bawah Akta 133, dengan denda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga 10 tahun. Tunggu sijil itu; ia juga yang membolehkan sambungan utiliti kekal. Apa yang perlu siap sebelum CCC.
Perlukah sebuah rumah di atas tanah sendiri mendapat kebenaran merancang?
Bergantung kepada PBT. MBSA mengecualikan sebuah rumah sesebuah daripada kebenaran merancang sejak 1 Oktober 2017, tetapi pelan bangunan dan pelan kejuruteraan masih perlu diluluskan. Senarai semak banglo MBPJ meminta surat kelulusan kebenaran merancang, dan DBKL meminta Perintah Pembangunan yang diluluskan. Keperluan mengikut PBT.
Tanah saya di luar kawasan PBT (kampung). Bagaimana dengan kelulusan?
LPPSA menerima rumah yang dibina mengikut pelan yang diluluskan PBT atau Pejabat Daerah dan masih berkuat kuasa. Untuk pengeluaran KWSP di luar kawasan PBT, KWSP meminta surat pengesahan daripada pihak berkuasa tempatan, ketua kampung atau jawatankuasa kampung, bersama pelan tapak. Tanya Pejabat Daerah anda prosesnya sebelum lukisan disiapkan. Dokumen KWSP untuk rumah kampung.
Perlukah persetujuan jiran untuk membina?
Untuk rumah di atas lot sendiri, kelulusan datang daripada PBT, bukan jiran. Tetapi CIDB menasihatkan persetujuan bertulis sebelum kerja menyentuh struktur bersama seperti tembok, pagar atau longkang, dan jiran boleh menuntut ganti rugi jika kerja anda merosakkan harta mereka. Maklumkan jiran awal, elakkan kerja bising sebelum 8 pagi atau selepas 6 petang, dan simpan bahan dalam tapak sendiri. Apa berlaku di tapak, peringkat demi peringkat.

Design & pelan

Berapa banyak design yang ada?
62, semuanya dengan lukisan penuh, keluasan sebenar, bilangan bilik dan anggaran kos. Lihat keseluruhan katalog — semuanya boleh download percuma.
Boleh saya minta design custom?
Boleh, dan ia percuma. Kami lukis pelan dan pandangan 3D mengikut keperluan anda tanpa bayaran. Bawa senarai keperluan ruang dan gambar rujukan, dan hadkan pusingan semakan supaya jadual tidak terjejas.
Boleh saya guna pelan saya sendiri?
Boleh. Jika pelan anda sudah diluluskan, kami bina daripadanya. Jika belum, kami semak kebolehbinaan dulu — sesetengah pelan perlukan pindaan struktur sebelum PBT akan meluluskannya.
Perlukah saya daftar untuk download pelan?
Tidak. Tiada pendaftaran, tiada e-mel, tiada bayaran. Setiap halaman design mempunyai pautan download terus kepada lukisan penuh.
Berapa luas tanah yang saya perlukan?
Setiap halaman design menyatakan anggaran keluasan tanah selepas anjakan bangunan PBT. Sebagai panduan kasar, rumah setingkat perlukan tapak kira-kira dua kali keluasan lantainya. Alat semak tanah mengira tapak boleh bina daripada keluasan lot anda.

Kontrak & kontraktor

Adakah kontraktor saya wajib berdaftar dengan CIDB?
Ya. Akta 520 seksyen 25(1) mewajibkan pendaftaran, dan CIDB menyenaraikan denda RM10,000 hingga RM100,000 serta arahan berhenti kerja bagi kerja oleh kontraktor tidak berdaftar. Gred pendaftaran menentukan nilai kontrak yang boleh diambil. Semak nombor, gred dan tarikh sah laku di portal CIMS CIDB sebelum menandatangani apa-apa.
Apa yang patut ada dalam quotation bina rumah?
Panduan CIDB: nama, nombor SSM dan CIDB kontraktor, tarikh dan tempoh sah laku, skop kerja terperinci mengikut peringkat, jenis, jenama dan kuantiti bahan, tempoh projek, pecahan harga, terma bayaran, dan tempoh serta skop waranti. CIDB juga menasihatkan anda dapatkan sekurang-kurangnya tiga quotation dan berhati-hati dengan harga terlalu murah tanpa pecahan skop. Spesifikasi pakej kami, baris demi baris.
Apa yang patut ada dalam kontrak bina rumah?
CIDB menyenaraikan: skop dan spesifikasi sebagai lampiran, tarikh mula dan siap, harga dan jadual bayaran, jenis dan tempoh waranti, insurans kontraktor, prosedur pertikaian, cara mengendalikan perubahan kerja, dan akibat kelewatan termasuk penalti dan hak menamatkan kontrak. Kontrak ditandatangani kedua-dua pihak sebelum kerja bermula, dan jangan bayar penuh sebelum kerja siap. Cara bayaran berperingkat berfungsi.
Adakah Akta Pemajuan Perumahan atau Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah melindungi saya?
Tidak secara terus. Akta 118 mengawal pemajuan lebih daripada empat unit rumah, dan tribunal itu mendengar tuntutan daripada perjanjian jual beli dengan pemaju. Untuk satu rumah atas tanah sendiri, perlindungan anda ialah kontrak, kawalan pembiaya dan kelulusan PBT; pertikaian dibawa ke pengantaraan, mahkamah, atau timbang tara jika kontrak memperuntukkannya. Hak anda jika ada kecacatan.
Bagaimana jika kontraktor meninggalkan projek separuh jalan?
Perlindungan utama ialah membayar hanya untuk kerja yang sudah disahkan: CIDB menasihatkan jangan bayar penuh sebelum kerja siap. Untuk pembiayaan LPPSA, bayaran dikeluarkan berperingkat berdasarkan laporan kemajuan JPPH, dan kontraktor memberi surat aku janji untuk memulangkan bayaran jika binaan terbengkalai. Kontrak anda patut menyatakan hak untuk menamatkan kontrak dan menuntut ganti rugi jika kontraktor gagal. Kawalan dalam jadual bayaran.
Bolehkah saya tukar design atau tambah kerja selepas pembinaan bermula?
Boleh, tetapi setiap perubahan ialah variation order: CIDB menasihatkan skop, kos dan kesan kepada tempoh dipersetujui secara bertulis dan ditandatangani sebelum kerja itu bermula. Perubahan yang menyimpang daripada pelan yang diluluskan juga perlukan pelan pindaan; MBPJ, contohnya, memerlukan pindaan diluluskan sebelum CCC. Kesan variation order kepada bayaran.

Pembinaan & selepas serahan

Berapa lama masa untuk bina rumah?
Pembinaan sendiri 5 hingga 6 bulan. Dari konsultasi pertama sehingga serah kunci, kira 12 hingga 18 bulan termasuk reka bentuk, kelulusan PBT dan pembiayaan — sebahagiannya berjalan serentak. Aliran kerja 12 langkah dengan tempoh setiap satu.
Bila saya perlu bayar, dan berapa?
Tujuh peringkat, setiap satu perlukan kerja yang disahkan sebelum tuntutan dibuat. Deposit pengesahan 5%, dan 5% bayaran akhir semasa serahan, selepas senarai kecacatan diselesaikan. Ini berbeza daripada borang kontrak standard seperti CIDB 2022, yang menahan sebahagian wang tahanan sehingga tamat tempoh liabiliti kecacatan. Bagi pembiayaan LPPSA, 5% terakhir dikeluarkan LPPSA selepas CCC atau enam bulan selepas pengeluaran 95%. Jadual penuh dengan contoh jumlah.
Siapa yang menginsuranskan rumah semasa dibina?
Dalam borang standard CIDB 2022, kontraktor mengambil insurans All Risks untuk tidak kurang daripada jumlah kontrak atas nama bersama, dan insurans liabiliti pihak ketiga sebelum kerja bermula; pekerja didaftarkan dengan PERKESO. Semak kontrak anda menyatakan perkara yang sama. Untuk pembiayaan LPPSA, insurans atau takaful kebakaran (LTHO) berkuat kuasa dari pengeluaran sekurang-kurangnya 95% atau bila rumah siap 100%, mana yang lebih awal. Melindungi wang anda semasa pembinaan.
Bagaimana rumah baharu mendapat bekalan elektrik dan air?
Untuk elektrik, kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga memohon bekalan melalui myTNB dan menyerahkan Borang G dan H; pemilik membayar caj sambungan, deposit dan duti setem, dan TNB memasang meter. Untuk air, kerja paip dibuat tukang paip bertauliah SPAN, dan permohonan dibuat kepada Air Selangor (Selangor dan KL) atau SAINS (Negeri Sembilan). Dalam anggaran kami, meter kekal ialah baris berasingan RM5,500. Sambungan utiliti, langkah demi langkah.
Cukai apa yang saya bayar selepas rumah siap?
Cukai tanah (cukai petak) berterusan seperti biasa, dibayar setiap tahun sebelum 31 Mei di Selangor. Cukai taksiran dikira semula oleh PBT atas rumah yang siap selepas CCC dikeluarkan. Cukai keuntungan harta tanah (CKHT) hanya timbul jika anda menjual atau memindah milik rumah itu kemudian. Cukai dan kos selepas siap.
Dokumen apa yang perlu saya minta semasa serah kunci?
Borang serahan yang ditandatangani dan bertarikh (waranti bermula daripadanya), senarai kecacatan dan pengesahannya, sijil rawatan anti-anai-anai, kad waranti pengilang, dan CCC. CIDB juga menyenaraikan manual penyelenggaraan, laporan ujian (kiub konkrit, tekanan air, elektrik) dan pelan siap bina. Simpan salinan kertas dan digital. Waranti dan serahan.
Apa yang dilindungi waranti?
Waranti 12 bulan bermula pada tarikh serah kunci, meliputi kecacatan struktur, kebocoran bumbung dan paip, kerja elektrik, kemasan basah dan pemasangan. Tempoh waranti ialah tempoh servis pembaikan; hak anda di sisi undang-undang tidak tamat bersamanya, kerana Akta Had Masa 1953 memberi enam tahun untuk tuntutan berasaskan kontrak. Terma penuh termasuk pengecualian.
Boleh saya melawat tapak semasa pembinaan?
Boleh, dan kami cadangkan anda buat secara berkala. Melihat kerja di pertengahan pembinaan adalah cara terbaik menilai kualiti. Lihat gambar tapak kami, dan hubungi kami untuk melawat tapak aktif.
Bagaimana jika saya tidak berpuas hati dengan kerja?
Pemeriksaan bersama dan senarai kecacatan dibuat sebelum serahan, dan 5% bayaran akhir hanya dibayar selepas kecacatan diselesaikan. Untuk peringkat lain, pengesahan jurutera atau penyelia adalah asas tuntutan, jadi pertikaian diselesaikan pada pengesahan.

Tentang RumahHQ

Adakah anda berdaftar CIDB?
Ya. Golden Sharp Innovation (IP0580950-X), pendaftaran CIDB 0120260318-SL169289. Semak sendiri di portal CIMS CIDB — untuk kami dan untuk mana-mana kontraktor lain yang anda pertimbangkan.
Apa gred CIDB anda?
Gred G4, dalam kategori B (Bangunan), CE (Kejuruteraan Awam), ME (Mekanikal & Elektrikal), sah hingga 17/03/2028. Nombor pendaftaran kami disiarkan supaya anda boleh menyemaknya sendiri di portal CIMS. Lihat sijil pendaftaran.
Kawasan mana yang anda liputi?
Selangor, Kuala Lumpur & Negeri Sembilan. Di luar itu kami tidak memberi harga, kerana kos pengangkutan bahan, kadar buruh dan proses PBT berbeza. Pelan kami tetap boleh anda download percuma dan bawa kepada kontraktor tempatan.
Berapa banyak rumah yang anda sudah bina?
230+ rumah telah siap, setakat 2026-09-18, dengan 10+ tahun pengalaman dan jaringan 90+ personel.
Bagaimana anda mengendalikan data saya?
Maklumat hubungan yang anda berikan digunakan untuk menghubungi anda tentang permintaan anda, dan disimpan dalam sistem CRM kami. Angka pendapatan yang anda masukkan dalam alat semak kelayakan tidak disimpan — hanya julat. Dasar privasi penuh.

Soalan anda tiada di sini?

WhatsApp kami. Kami balas dalam waktu bekerja, biasanya dalam masa sejam, dan tiada bayaran untuk bertanya.

WhatsApp Soalan Anda

Langkah pertama tidak perlukan sesen pun.

Pelan, pandangan 3D dan quotation penuh — semuanya percuma, tanpa daftar dan tanpa ikatan. Kami hanya dibayar bila anda memilih kami untuk membina rumah keluarga anda.